MATANG : Seramai 52 guru dan 515 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang menggayakan busana bertema kepahlawanan Melayu serta pakaian tradisonal pelbagai kaum sempena Majlis Ambang Merdeka di sekolah itu.
Pengetuanya, Zainal Umar berkata, pemilihan tema busana kepahlawanan Melayu pada sambutan tahunan kali ini adalah bagi mengembalikan nostalgia kegemilangan zaman Kesultanan Melayu.
Menurutnya, keunikan yang ditampilkan sekolah itu dengan mengenakan pakaian di zaman silam adalah salah satu usaha memperingati zaman keagungan kesultanan Melayu yang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri.
"Diharapkan semangat keagungan kesultanan Melayu ini menjadi pendorong kepada guru untuk berkhidmat dan menabur bakti kepada anak bangsa agar menjadi insan berguna.
"Ini sekali gus dapat menarik minat pelajar untuk menghayati busana pahlawan Melayu yang diperagakan guru dari segi nilai sejarah dan estetika pakaian tradisi kebanggaan masyarakat di negara ini," katanya ketika ditemui semasa program.
“ Keberanian luar biasa mempertahankan negara sewaktu berusia 21 tahun ini memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar berikutan kesedaran tentang pahit jerih yang diharungi generasi terdahulu” katanya
Zainal berkata, selain memeriahkan sambutan kemerdekaan negara, program tersebut bertujuan mengukuhkan perasaan cintakan negara dan memupuk daya juang dalam kalangan generasi muda.
"Kita turut mengadakan perasmian Mural 3D Ikan Koi dan pameran Bunga Kebangsaan sempena bulan kemerdekaan," katanya
Menurutnya,pelbagai program diatur sempena sambutan bulan kemerdekaan peringkat sekolah bermula 16 Ogos hingga 16 September
“ Pelbagai pertandingan seperti melukis poster, hiasan kelas , pantun, sajak telah diadakan , selain pameran dan persembahan pelajar
“ Pihak sekolah juga menjemput tokoh penulis tempatan Mohd Zamberi Abdul Malek yang banyak memenangi anugerah penulis untuk memberi kupasan buku kemerdekaan tulisan beliau”katanya
Katanya, melihat pelajar sekolah membuat persembahan untuk menghiburkan hadirin adalah sesuatu yang sangat simbolik kerana meskipun mereka bukan kumpulan profesional, tetapi komitmen pelajar demi menyambut kemerdekaan menjadikan ia sesuatu yang sangat hebat.
"Jelas, sambutan sebegini dapat menyerlahkan jiwa kebangsaan mereka. Nampak jelas semua pelajar tidak mengira bangsa bersatu dan meraikan sambutan kemerdekaan. Suasana begini bukan senang untuk kita lihat dan kerana itulah saya rasa bangga melihat reaksi mereka.
"Malah, kerjasama semua guru dalam merealisasikan program ini juga begitu hebat. Semua mereka memakai busana bertema kepahlawanan Melayu serta pakaian tradisonal pelbagai kaum demi melahirkan rasa cinta kepada Malaysia. Sesuatu yang sangat saya hargai," katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis sambutan ialah Rusli Abu Mahsin Penghulu Kanan Mukim Matang, Zairul Aida Hamdan Ketua Muzium Matang dan Abdul Rahman Said Yang Dipertua PIBG SMK Matang.
Sekitar Majlis Ambang Merdeka
No comments:
Post a Comment