Dropdown menu

Saturday, April 22, 2017

Aktiviti Jejak Maklumat : Kelab PSS SMK Matang anjur Jejak Buku


MATANG : Aktiviti Jejak Buku anjuran Kelab Pusat Sumber amat menarik dan mencabar minda peserta yang menyertainya.

Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan . Setiap kumpulan dikehendaki mencari maklumat dalam buku yang terdapat dalam perpustakaan melalui tanda-tanda yang diberikan oleh guru.

Sebenarnya, terdapat pelbagai bentuk pertandingan jejak maklumat yang boleh dijalankan. Mari kita lihat satu bentuk aktiviti jejak maklumat dalam artikel di bawah :

1. PENGENALAN

Program Jejak Maklumat adalah berbentuk pertandingan yang berkonsepkan ‘Treasure Hunt’ atau ‘Explore Race’. Pertandingan ini adalah berasaskan pembacaan yang mencabar minda dan kreativiti setiap murid bagi mendorong kepada penerokaan khazanah ilmu yang terdapat dalam bahan bacaan. Pertandingan ini turut menguji ketahanan mental dan fizikal para peserta termasuk semangat berpasukan serta kerjasama dalam kumpulan.


2. OBJEKTIF

Objektif Pertandingan Jejak Maklumat adalah seperti berikut:

2.1 Memberi pendedahan dan kemahiran murid-murid dalam pencarian maklumat dengan menggunakan koleksi yang terdapat di Pusat Sumber Sekolah khususnya dan sumber ilmu lain amnya.

2.2 Mendekatkan murid- murid dengan perpustakaan serta menjadikan kunjungan ke perpustakaan satu rutin sebagai asas amalan pembelajaran sepanjang hayat.

2.3 Menyedarkan murid-murid tentang kepentingan perpustakaan dalam proses pembelajaran.

2.4 Merangsang rasa ingin tahu bagi mendorong keseronokan menerokai dunia ilmu.

3. SEGMEN DI DALAM JEJAK MAKLUMAT
3.1 Terdapat lima (5) perhentian yang meliputi lima (5) segmen yang perlu dilalui oleh para peserta secara individu dan berkumpulan. Segmen yang dicadangkan adalah seperti berikut:



i) Perhentian Pertama: Segmen Ketahanan Fizikal (Individu)
Segmen Ketahanan Fizikal memerlukan peserta secara individu menempuh halangan-halangan secara fizikal yang telah ditetapkan.

Contoh Halangan:
Peserta perlu menempuh halangan fizikal seperti lari berhalangan yang telah ditetapkan.

ii) Perhentian Kedua: Segmen Isu Semasa (Individu)
Segmen Isu Semasa memerlukan peserta secara individu mempunyai pengetahuan mengenai isu-isu semasa dalam negara dan luar Negara

Contoh Halangan:
Peserta perlu mendapatkan keratin akhbar beserta rujukan tentang isu semasa yang diperlukan.


iii) Perhentian Ketiga:Segmen Pemikiran Kreatif (individu atau berkumpulan)
Segmen Pemikiran Kreatif memerlukan peserta secara individu atau berkumpulan menyelesaikan masalah dalam bentuk puzzle.

Contoh Halangan:
Peserta perlu mencantumkan semula gambar dalam bentuk jigsaw puzzle.

iv) Perhentian Keempat: Segmen Uji Minda (bekumpulan)
Segmen Uji Minda memerlukan peserta secara berkumpulan menyelesaikan Teka Silangkata (Cross word Puzzle) / Cari Perkataan (Word Maze) ( Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris) yang telah ditetapkan.

v) Perhentian Kelima: segmen Pembacaan (berkumpulan)
Merupakan segmen utama pertandingan ini di mana para peserta secara berkumpulan akan menyelesaikan kesemua klu utama yang telah dikumpul. Klu utama tersebut melibatkan bahan-bahan di Pusat Sumber Sekolah.


Contoh Halangan:
Peserta perlu mendapatkan maklumat atau jawapan seperti makna perkataan dan lain-lain melalui bahan-bahan di Pusat Sumber Sekolah.

3.2 Bagi segmen individu, ketiga-tiga peserta perlu berbincang bagi memastikan siapakah di antara mereka yang mempunyai kemahiran untuk melepasi halangan di perhentian pertama, kedua atau ketiga. Ini kerana setiap peserta secara individu boleh menyelesaikan halangan segmen di perhentian pertama, kedua atau ketiga SEKALI sahaja ( setiap kumpulan mempunyai 3 orang peserta).
3.3 Manakala bagi segmen berkumpulan, ketiga-tiga orang peserta perlu bekerjasama untuk menyelesaikan halangan segmen di perhentian keempat dan kelima.

3.4 Secara ringkas pergerakan peserta adalah seperti berikut.

i) Semua peserta secara berkumpulan akan bermula di perhentian (check point)
 pertama bagi menerima 2 sampul surat yang mengandungi klu utama dan klu segmen. Klu utama tidak boleh dibuka dan perlu dikumpulkan sehingga ke perhentian kelima. Manakala klu segmen perlu dibuka dan diselesaikan untuk mendapat mata.
ii) Setiap kumpulan perlu menyelesaikan klu segmen dengan melalui pelbagai halangan sama ada secara individu atau berkumpulan dari satu perhentian ke satu perhentian bagi mendapatkan 5 klu utama di mana sebanyak 2 klu utama akan diberikan di perhentian keempat.
iii) Kelima-lima klu utama tersebut hanya boleh dibuka di perhentian kelima iaitu di Pusat Sumber Sekolah di mana setiap kumpulan perlu menyelesaikan kesemua klu tersebut dengan menggunakan bahan-bahan di pusat Sumber Sekolah tersebut.

4. SASARAN

Pertandingan Jejak Maklumat mensasarkan golongan peserta iaitu:

4.1 Murid sekolah rendah tahap 2

4.2 Murid sekolah menengah

5. PENUTUP

Program ini adalah merupakan satu aktiviti yang amat menarik. Dari tinjauan urus setia melalui pelajar-pelajar yang mengambil bahagian dapatlah dirumuskan bahawa program ini memberi kesan yang baik seper berikut:

1. Murid dapat melahirkan kepelbagaian idea.
2. Menggalakkan murid menggunakan Pusat Sumber Sekolah dan Perpustakaan Awam.
3. Murid didedahkan cara mencari maklumat dengan betul.
4. Satu program yang sangat baik dan berkesan untuk mendedahkan pelajar mengenai salah satu aspek dalam literasi maklumat. 


No comments:

Post a Comment