Dropdown menu

Friday, September 7, 2018

Busana Pahlawan Melayu meriahkan Majlis Ambang Merdeka

MATANG : Seramai 52 guru dan 515 pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matang menggayakan busana bertema kepahlawanan Melayu serta pakaian tradisonal pelbagai kaum sempena Majlis Ambang Merdeka di sekolah itu.
Pengetuanya, Zainal Umar berkata, pemilihan tema busana kepahlawanan Melayu pada sambutan tahunan kali ini adalah bagi mengembalikan nostalgia kegemilangan zaman Kesultanan Melayu.
Menurutnya, keunikan yang ditampilkan sekolah itu dengan mengenakan pakaian di zaman silam adalah salah satu usaha memperingati zaman keagungan kesultanan Melayu yang mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri.
"Diharapkan semangat keagungan kesultanan Melayu ini menjadi pendorong kepada guru untuk berkhidmat dan menabur bakti kepada anak bangsa agar menjadi insan berguna.
"Ini sekali gus dapat menarik minat pelajar untuk menghayati busana pahlawan Melayu yang diperagakan guru dari segi nilai sejarah dan estetika pakaian tradisi kebanggaan masyarakat di negara ini," katanya ketika ditemui semasa program.