Apa itu NILAM?

LATAR BELAKANG
Budaya
ilmu adalah aktiviti ilmiah yang dipraktikan sesebuah masyarakat untuk
menjadi masyarakat bertamadun. Peradaban ini akan terus relevan dan
berkembang jika diasah dan diperturunkan kepada generasi muda masyarakat
kita. Pembentukan bangsa atau masyarakat dapat dibina jika mengamalkan
budaya ilmu. Salah satu asas yang penting bagi budaya ilmu ialah amalan
membaca. Membaca perlu disemai dan dijadikan amalan setiap anggota
masyarakat agar dapat berkembang maju dalam pelbagai bidang seperti
pendidikan, ekonomi, dan teknologi. Kecemerlangan bangsa dan negara akan
dapat dicapai jika masyarakatnya membudayakan amalan membaca sebagai
rutin harian. Sekaligus pengetahuan dan pengalaman melalui pembacaan
dijadikan asas pembentukan modal insan yang cemerlang bagi membentuk
negara maju.
Program NILAM
Kementerian
Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan Program NILAM di peringkat
sekolah rendah dan sekolah menengah. Program NILAM adalah agenda prima
untuk menjadikan murid-murid sekolah sebagai warga yang berilmu. Di
samping menjadikan membaca satu habit yang berkesinambungan tanpa
mengira peringkat usia. NILAM adalah akronim daripada Nadi Ilmu Amalan Membaca.
Program NILAM merupakan pengabungan atau adunan semua aktiviti galakan
membaca yang pernah dijalankan di sekolah seluruh negara. Program NILAM
adalah penjenamaan semula program membaca dengan memberi pengiktirafan.
Ianya salah satu kaedah untuk menangani masalah yang menghalang
penyuburan tabiat membaca dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat
Malaysia amnya.